Gme dan Destinasi Lari
31 Ogos 2018
Teluk Intan
Tema: Jejak Warisan
1. Memilih lokasi bekas landasan keretapi Teluk Anson ke Tapah Road yang berusia lebih 100 tahun sebagai lokasi lari/jalan riang minggu ini. Lanjutan dari tema landasan keretapi bukit berapit pada minggu lepas. Pasukan hari ini terdiri daripada Gme, Ares, Poksu Adie, Khalid, dan Syawal. Kelima-lima kami semuanya belum pernah menjejaki laluan ini.
Pegenalan
2. landasan ini telah dirasmikan pada 18 Mei 1883. Landasan keretapi Teluk Intan bermula dari Tapah Road dan melalui beberapa lokasi seperti Degong, Chikus, Sungai Tukang Sidin, Permatang, Sungai Kerawai, Sungai Manik, Teluk Anson Town dan Wharf Teluk Intan.
Namun demikian, seiiring dengan perkembangan masa perkhidmatan keretapi di Teluk Intan telah ditamatkan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada tahun 1989.
3. Panjang keseluruhan landasan ini adalah 29.1km.
Misi
4. Kami bermula dari Stesen Keretapi Teluk Anson (Skrg sudah menjadi Sekolah Memandu) iaitu KM26.6 untuk ke Tapah Road KM0. Kami menjadikan bekas-bekas hentian/stesen sebagai titik rujuk/CP.
5. Selepas berlari dalam bandar baru Teluk Intan, siap tersasar dari rancangan asal, kena kejar anjing, kami berjaya tiba di tarikan Jambatan Keretapi Sungai Bidor. Jambatan ini sekarang boleh dilalui oleh motorsikal, basikal dan pejalan kaki. Jelas kelihatan jambatan ini masih kukuh. Cantik permandangan atas sungai ini. Boleh bergambar di ruangan pejalan kaki kayu (yang kebanyakan mula mereput) selari dengan jambatan besi.
6. Dari situ kami masuk ke jalan kampung, sebelum masuk semula ke ladang kelapa sawit, mencari tapak gajah melanggar keretapi (atau keretapi melanggar gajah) pada tahun 1894. Sekitar 124 tahun dahulu, kisah gajah ini menjadi tular (eh masa itu dah ada perkataan ini?). Pelbagai versi cerita mengenai gajah ini (boleh google), dan rangka kepala gajah ini ada di Muzium Negara (dan ceritanya ada juga di muzium Taiping).
7. Melalui denai dalam ladang kelapa sawit, tinggalan landasan seperti sleeper dan besi rel masih ada di beberapa tempat. Beberapa kawasan agak semak, menyebabkan kami masuk ke laluan tarmac semula. Singgah di WS di gerai tepi sungai kerawai. Berborak dengan orang kampung, seronok mereka bercerita pasal kegemilangan laluan keretapi ini. Sempat dijamu cempedak goreng dan kek. Yummy.
8. Sambung tepi sawah padi, hujan seketika, kemudian jumpa tapak Stesen Sungai Kerawai, Hentian Permatang, Chikus, Sungai Tukang Sidin. Berlari, berjalan, bergambar, seterusnya meredah denai dalam kelapa sawit, sambil menikmati panorama sawah pagi bersebelahan. Bagi mengesan landasan, mudah sahaja, di mana dalam ladang, landasan ini kelihatan tinggi daripada batas biasa, dan tinggalan sleeper kayu masih banyak tertanam.
9. Menariknya, beberapa jambatan lama yang masih utuh ditemui. Seperti biasa, saya gayat melintasi jambatan yang merentasi sungai. Terima kasih ahli pasukan banyak bantu dan berikan motivasi.
10. Kami berhenti lama di Stesen Degong untuk bersolat Jumaat. Menariknya, masjid di sini betul-betul berhadapan dengan bekas stesen keretapi. Lama berborak dengan kariah masih yang bercerita mengenai betapa sibuknya stesen di sini pada masa dahulu. Ada kariah yang pernah bekerja sebagai ticket master, dsbnya pada masa itu. Tinggalan platform stesen ini jelas kelihatan di luar masjid.
11. Dari Degong, kali detour sedikit dari laluan asal keretapi sebab mencari kedai menjual air. Panas. Kedai banyak tutup di hari Jumaat. Berjaya jumpa kedai, apa lagi makan tengah hari dan top up minuman. Sejurus selesai, kembali masuk semula ke ladang kelapa sawit mencari tinggalan landasan. Selepas beberapa kilometer dalam ladang tu, hampir sesat, bertemu semula dengan landasan. Terus menjejak landasan. Bertemu beberapa jambatan rendah, dan jelas kelihatan batu bata nya masih kukuh. Laluan dalam ladang kelapa sawit ini adalah lurus, rata.
12. Mencari tapak Changkat Petai, bertanyakan kepada orang kampung. Menjumpai tapak itu. Tapi tinggal tapak jelah, tiada struktur yang tinggal.
13. Berjalan, dan berlari terus dalam ladang kelapa sawit dan menghampiri sekitar 3km dari Stesen Tapah Road, banyak kelihatan sleeper kayu ditolak untuk memberi peluang kepada penanaman kelapa sawit.
14. Tiba di titik pertembungan double track dan kesan trek lama, ingatkan boleh masuk melalui jalan bawah trek. Tiada jalan. Masuk ke kawasan kebun, melangkah dalam denai di situ, mencari jalan raya.
15. Tiba di jalan raya, dan 1km terakhir sekitar pekan lama tapah road dan seterusnya garisan penamat kami, Stesen Tapah Road. Bergambar kenangan dan berehat. 10 jam lebih yang penuh bermakna, berhenti sana sini, berbual bicara bersama dengan orang kampung yang ditemui. Menikmati laluan yang ditinggalkan ini, penuh bersejarah.
Penutup
16. Keseluruhan laluan adalah rata, runnable, menarik di beberapa tempat, dan semestinya ladang kelapa sawit. Sawah padi yang berselari dengan laluan keretapi juga menarik. Binaan jambatan lama keretapi yang ada kebanyakannya masih kukuh, kemas dan teliti.
17. Tahniah dan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang turut sama ups, downs, sepanjang laluan, berpanas, berhujan dan sama-sama menahan lapar dan dahaga (hehehe) sementara mencari kedai.
18. Kerana larian harus dinikmati.
Selamat hari kebangsaan !
Gme
Teluk Intan
Ogos 31.
PS: Sebahagian foto dalam album ini kredit kepada Poksu Adie, Ares, Khalid.
Bacaan lanjut:
1. http://www2.arkib.gov.my/
2. https://
3. https://
Lebih gambar : https://www.facebook.com/gme.azmi/media_set?set=a.10156100043443822&type=3&fb_dtsg_ag=AdyZl_W1sdgbsvXVggeHjpTdnuzj43-ZAzlmnTo3isLDhw%3AAdw1PCIu_zlApAFwp9sAR3Wyhqwyg0mJ13L7mrl3ZmEaMA
No comments:
Post a Comment