Wednesday 24 May 2017

GME MARATHON CHALLENGE 2017

Gme Marathon Challenge 2017
1. Pantas masa berlalu, saya akan meraikan ulang tahun ke-5 penyertaan aktif saya dalam larian pada bulan Jun 2017. Ketika kembali menyertai acara larian pertama pada Jun 2012, 7km di Dataran Merdeka, terasa sungguh jauh. Baru-baru ini (Ahad) saya menamatkan acara marathon saya yang ke-8 (2017) dan 52 (keseluruhannya) di Dataran Merdeka. Segala “ups” dan “downs” sepanjang lebih 200 acara dalam dan luar negara adalah suatu motivasi dan pengajaran berguna buat saya.
2. Ringkasan penyertaan saya dalam marathon di Malaysia pada tahun ini adalah seperti berikut. Saya sertakan juga catatan masa peribadi saya sebagai rujukan.
3. Twincity Marathon: 8:25
Malaysia Women Marathon: 5:56
Pahang Marathon : 6:50
Miri Marathon: 6:33
Iskandar Puteri: 6:57
Perlis Marathon: 6:19
Borneo Marathon: 6:53
SCKLM: 6:24
4. Tahun ini, agak istimewa kerana berjaya menyertai beberapa acara marathon baharu dan bukan legasi. Di samping itu, pengalaman “back-to-back” marathon saban hujung minggu juga menyeronokkan (dan memenatkan). Secara puratanya saya sertai marathon sebulan sekali, namun, tahun ini, berjaya mencabar potensi diri dengan 4 marathon dalam masa 5 minggu (dengan 1 HM dan 1 acara 50km di antaranya).
5. Saya akui, catatan masa saya tidak seperti dahulu, saya sudah lama tidak buat sub-5 marathon. Saya tidak pernah buat sub-4. Pernah juga komentar seperti “dah 50 marathon, masih pace 9” dan “eh, kenapa lambat sangat tamat” muncul di status-status media social saya. Saya berusaha untuk pertingkatkan diri dari satu marathon ke satu marathon yang lain. Walaupun bukan dari segi masa, keseronokan marathon itu datang bentuk yang lain. Terima kasih atas pandangan dan perhatian. Saya berusaha untuk ke arah kebaikan.
6. Saya berpegang kepada tema “kerana larian harus dinikmati”. Maka, cara saya mungkin berbeza dengan yang lain. Lain orang lain motivasi. Adalah menjadi satu kegembiraan apabila dapat memberi inspirasi dan mendapat inspirasi antara satu sama lain. Walau apa juga jaraknya.
7. Ada yang bertanya bagaimana saya kekal bertahan untuk bermarathon saban minggu di pelbagai lokasi. Bagi saya, motivasi untuk eksplorasi pengalaman baharu di setiap lokasi mendorong saya “keep moving”. Saya juga akui saya berlatih tidak seperti dulu, cukup sekadar mengekal momentum. Rehat yang cukup memainkan peranan, seperti tidur yang berkualiti. Kerana lain marathon lain atribut dia.
8. Panjang pulak mukadimah, cerita sebenar dia adalah rangkuman 8 marathon yang saya sertai.
9. Twincity Marathon : edisi kali ini lebih meriah, ramai FM-er, tiada insiden arca roboh. Nasi Lemak Anak Dara menjadi perhatian, “post race” yang masih berkualiti dengan makanan dan minuman. Laluan beralun di Cyberjaya & Putrajaya serta cuaca panas. Keseluruhannya, acara baik. Sesuai untuk “newbie” kerana COT adalah 8 jam. Saya tamat dengan 8:25. Gembira kerana berjaya tamat (walaupun luar COT) kerana sejam sebelum bermula saya telah DNF di KM42 acara Watergate 16H Ultra.
10. Malaysia Women Marathon : Acara larian meraikan wanita-wanita. Sudah lama saya impikan berlari di acara ini sebagai pacer. Tercapai impian juga berlari pakai skirt pink. Acara baik bermula/tamat di Stadium Shah Alam. Tahniah pace saya yang sampai dahulu. Hehehe. Misi sub-6 kami berjaya. Laluan adalah melalui lebuh raya kota kemuning. Hujan memberikan elemen dramatik. Keseluruhannya acara adalah baik. Trafik terkawal. Post race juga tidak mengecewakan.
11. Pahang Marathon: Saya kembali ke Kuantan untuk berlari di sini sebab ada jarak 42km. Mengambil kira reputasi penganjuran edisi terdahulu (HM), memang ekspektasi saya tidaklah tinggi kepada acara ini. Penyertaan adalah ramai berbanding edisi terdahulu (di mana ini kali pertama diadakan jarak 42km). Taman Gelora sesuai sebagai lokasi mula/tamat. Laluan memasuki bandar Kuantan, dan sangat mencabar trafiknya, terutamanya di Kuantan Bypass dan Jalan Beserah. Cuaca panas memberikan cabaran kepada pelari. Post race agak memuaskan sahaja. Keseluruhannya, saya memberikan rating memuaskan kepada acara ini. Namun, Kuantan sesuai untuk Jalan-jalan Cari Makan juga.
12. Miri: Ini adalah salah satu acara marathon baharu yang saya tunggu-tunggu, sampaikan tersilap beli tiket (Februari, maka, 2 kali ke Miri tahun ini). Miri adalah satu acara dalam siri The Great Borneo Series yg terdiri dari 3 marathon terbesar di Sabah/Sarawak iaitu Miri Marathon, Borneo Marathon, Kuching Marathon. Penganjuran Miri melangkau jangkaan saya untuk edisi pertama. Laluan rata dan berbukit di akhir selepas u-uturn memberikan cabaran. Semestinya, 500m terakhir pusing luar stadium sebelum masuk ke stadium dan berlari di trek ke garisan penamat adalah mengujakan (dan halangan mental). Terdapat beberapa stesen sokongan sukarela memberi sokongan khas kepada pelari. Cuaca panas tepi laut juga mencabar. Keseluruhannya, penganjuran adalah baik. Penambahbaikan seperti penunjuk jarak selepas km33 dan lebih banyak cahaya di laluan gelap di tepi hutan Piasau. Saya memberikan rating baik kepada acara ini.
13. Iskandar Puteri : Ini merupakan satu lagi acara baharu. Lokasi yang sesuai untuk larian. Acara ini akan terus dikenang dengan penyedia catatan masa yang haru-biru. Di samping itu, jarak terlebih juga diperdebatkan di page acara. Beberapa WS kehabisan air. Di acara ini, buat pertama kali dapat menyaksikan marshall berlumba. Eh. Laluan di Iskandar Puteri yang beralun dan banyak u-turn. Suasana di kawasan penamat yang sungguh suram, walaupun tamat dalam COT. Mungkin lepas tengah malam. Keseluruhannya, penganjuran adalah sekadar memuaskan dengan banyak perlu ditambah baik.
14. Perlis: Selepas kejayaan edisi 2016, edisi tahun ini menjadi lebih besar dan peningkatan penyertaaan dalam semua kategori. Suasana meriah di perkarangan luar Stadium dengan gerai pameran, penaja dan hiburan. Laluan FM seperti biasa rata, u-turn di Arau, dan masuk semula ke bandar Kangar dan u-uturn semula di beberapa tempat sebelum tamat di luar stadium kangar. Perlis menyediakan lucky draw yang mengujakan, iaitu Kereta. Post race untuk FM kali ini lebih eksklusif, dengan ruangan khas utk penamat lengkap dengan makanan. Keseluruhannya, penganjuran adalah baik. Tiada komplen dari saya. Tapi Perlis akan turut diingati dengan lahirnya #347. Opsss. Saya memberikan rekomendasi baik untuk acara ini, dan seharusnya ia dikunjungi saban tahun.
15. Borneo: Tahun ini Borneo International Marathon (BIM) meraikan ulang tahun ke-10. Tema tahun ini adalah #thisability dengan kerjasama UNICEF bagi meraikan kanak-kanak. Laluan tahun ini juga ada perubahan. Tiada lagi u-turn. Namun bukit UMS, laluan panas teluk Likas memberikan cabaran. WS tahun ini banyak ais, dan air. Sokongan pasukan sorak di KM41 adalah mengujakan. Beberapa muzik spot disediakan. Laluan ke km5 agak sesak kerana satu lorong menuju ke Bandaraya KK. Tamat di dalam stadium Likas mengujakan. Saya undi medal BIM dan baju BIM sebagai tercantik bagi FM di 5 bulan pertama ini. Keseluruhannya, penganjuran kali ini adalah baik. Moga dipertingkatkan lagi tahun hadapan. Saya memberi rekomendasi baik kepada acara ini.
16. SCKLM: Marathon perdana Malaysia. Meriah. Ulasan adalah seperti di status facebook saya pada 23 Mei 2017 dan juga album FB. Keseluruhannya, penganjuran SCKLM tahun ini adalah paling baik dalam 4 kali penyertaan saya. Saya memberi rekomendasi sangat baik. Moga ia terus menjadi lebih baik tahun depan.
17. Selesai jadual marathon separuh tahun pertama 2017. Banyak pengalaman sepanjang jalan. Seronok dapat bersua rakan-rakan pelari dari pelbagai lokasi. Tahniah dan terima kasih. Moga semua gembira dan bermotivasi dengan walau apa juga cara yang dipilih. Moga bersua di lain masa.
Kerana larian harus dinikmati,
Gme
Marathon Maniacs.
P/S 1: Ulasan penuh saya bagi setiap acara adalah seperti di dalam album fb masing-masing.


No comments:

Post a Comment

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2019

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 14 September 2019 Dataran Batu Burok Kuala Terengganu 12 am 1️⃣  Seperti biasa, LAJSM ...